FIFA Umum 16 Bandar Yang Menjadi Hos Piala Dunia 2026
June 17, 2022 Hafizuddin Omar

Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah mengumumkan 16 bandar terpilih bagi mengadakan perlawanan-perlawanan bola sepak saingan Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Saingan yang julung kalinya bakal menampilkan 48 pasukan ini akan dimainkan di 11 lokasi di Amerika Syarikat iaitu Atlanta, Boston, Dallas, Houston, Kansas City, Los Angeles, Miami, New York / New Jersey, Philadelphia, San Francisco Bay Area dan Seattle.

Sementara itu, tiga lokasi akan dilangsungkan di Mexico iaitu Guadalajara, Mexico City dan Monterrey dan baki dua lokasi lagi diadakan di Kanada iaitu Toronto dan Vancouver.

Untuk makluman semua, kemasukan 48 pasukan di dalam saingan Piala Dunia 2026 ini merupakan pertambahan sebanyak 16 pasukan berbanding kejohanan Piala Dunia 2022 di Qatar pada penghujung tahun ini.

Selain itu, penganjuran bersama antara tiga buah negara ini juga merupakan yang pertama kali dalam sejarah kejohanan Piala Dunia sejak ia dipertandingkan buat julung kalinya pada tahun 1930. 

Featured Image: FIFA

Komen