Sri Pahang Salin Tiga Pemain Import Di Jendela Pertengahan Musim 2022
June 17, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air Sri Pahang FC membawa masuk tiga pemain import baharu ketika jendela perpindahan pertengahan musim 2022.

Menerusi makluman di pelbagai platform media sosialnya pada hari ini, skuad berjulukan Tok Gajah itu mengumumkan kemasukan dua penyerang iaitu Kevin Ingreso dan Andres Rodriguez serta seorang pertahanan, Sherzod Fayziev.

Untuk pengetahuan semua, Kevin, 29 tahun, merupakan pemain kacukan Filipina-Jerman yang beraksi bersama kelab Thailand, Samut Prakan City secara pinjaman daripada BG Pathum United.

Sementara itu, Rodriguez, 24 tahun pula datangnya dari rantau Amerika Selatan iaitu Colombia. Sebelum ini, dia beraksi dalam saingan negaranya bersama Independiente Medelin.

Manakala Sherzod yang berusia 30 tahun merupakan pemain kelahiran Uzbekistan. Sebelum menyertai Sri Pahang, pemain skuad kebangsaan Uzbekistan ini beraksi bersama Lokomotiv Tashkent.

Menurut makluman oleh Sri Pahang, ketiga-tiga pemain ini hadir bagi menggantikan khususnya Billy Ketkeophompone dan Johan Martial yang mengalami kecederaan jangka masa panjang.

Sementara itu, hanya dua pemain import sedia ada iaitu Mamadou Samassa dan Manuel Hidalgo sahaja yang kekal bersama pasukan untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2022.

Featured Image: BG Pathum United

Komen