Terbuka Indonesia: Tang Jie-Valeree Kandas Di Suku Akhir, Disingkirkan Beregu No.4 Dunia
June 17, 2022 Hafizuddin Omar

Gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Valeree Siow terpaksa menerima hakikat kandas di peringkat suku akhir saingan Terbuka Indonesia 2022.

Pasangan yang bergandingan sejak minggu lalu ini kandas selepas ditumpaskan oleh beregu China yang menghuni ranking keempat dunia, Wang Yi Lyu dan Huang Dong Ping, sebentar tadi.

Dalam pertembungan tersebut, Tang Jie-Valeree tumpas secara “straight set” dengan keputusan 12-21 dan 14-21 dalam tempoh masa sekitar setengah jam permainan di Gelanggang 2, Istora Senayan.

Dengan kekalahan ini, tumpuan Tang Jie-Valeree akan beralih kepada kejohanan seterusnya iaitu Terbuka Malaysia 2022 yang akan berlangsung bermula 28 Jun kelak di Kuala Lumpur.

Di kejohanan tersebut, Tang Jie-Valeree akan berhadapan cabaran pertama daripada pasangan Jepun, Yuki Kaneko dan Misaki Matsutomo di Pusingan 32.

Sementara itu, Yi Lyu-Dong Ping yang berhasil meneruskan kemaraan ke pentas separuh akhir Terbuka Indonesia akan bertemu rakan senegaranya, Zheng Si Wei dan Huang Ya Qiong pada hari esok untuk merebut tempat ke perlawanan akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen