Kelab Liga M5 Umum Kerjasama Dengan Carabao – Syarikat Minuman Tenaga Terkemuka
June 17, 2022 Hafizuddin Omar

Kelab yang bakal beraksi dalam kancah Liga M5, Kerteh FC mengumumkan kerjasama terbaru bersama sebuah syarikat minuman tenaga yang cukup terkemuka dan dikenali ramai dari Thailand iaitu Carabao.

Kerjasama ini menjadikan syarikat sama yang menaja saingan English Football League (EFL) ini selaku Rakan Kongsi Minuman Tenaga Rasmi dan Rakan Kongsi Pakaian Jurulatih Rasmi buat Kerteh FC bermula saat ini hingga musim 2023 dengan pilihan lanjutan sehingga tahun 2025.

Dengan kerjasama ini, Carabao dapat mengembangkan kehadirannya dan pemasarannya di Malaysia dengan logonya, logo kerbau dan burung merah akan dipaparkan di pakaian kakitangan kejurulatihan dari peringkat akar umbi sehingga ke pasukan utama Kerteh FC.

Kami gembira dapat membentuk kerjasama baharu dengan Carabao yang merupakan satu jenama global dan sangat dikenali dalam industri ini. Kami juga mengalu-alukan rakan kongsi baharu kami ini sebagai penaja pakaian kakitangan kejurulatihan kelab.

“Kami juga yakin dengan termeterainya kerjasama ini, ianya akan meningkatkan lagi daya saing kami dari segi komersial dan peluang untuk kami mengukuhkan asas perniagaan kelab kami. Sebagai balasan, jangkauan aliran perniagaan kami juga akan membantu Carabao Malaysia meluaskan lagi pasaran baharu mereka di Terengganu khususnya.” kata Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Carabao Malaysia, Tan Kai Hong pula berasa gembira menjadi sebahagian daripada keluar skuad yang berjulukan The Oilers ini. Menurutnya, Kerteh FC telah diperhatikannya sejak tiga tahun yang lalu dan menganggap pasukan kecil dari negeri Terengganu ini mempunyai reputasi yang cemerlang.

Kami sedang mencari peluang untuk berkembang dalam pasaran Malaysia dan telah mendapati Kerteh merupakan rakan kongsi yang akan membantu kami untuk mencapai objektif kami di Malaysia.” katanya.

Komen