Terbuka Indonesia: Zii Jia Singkir Juara Dunia, Mara Ke Pentas Separuh Akhir Super 1000
June 17, 2022 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia mengesahkan kemaraan ke pentas separuh akhir Terbuka Indonesia 2022 –  Jelajah Dunia Super 1000 BWF – selepas memenangi perlawanan peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Kemaraan itu tercipta selepas pemain yang berada di ranking kelima dunia ini menumpaskan pemain Singapura merangkap juara Kejohanan Dunia BWF 2021, Loh Kean Yew sekaligus menyingkirkan pemain tersebut daripada kejohanan ini.

Dalam perlawanan terbabit, Zii Jia merekodkan kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-18, 16-21 dan 22-20 dalam tempoh masa melebihi satu jam pertarungan di Istora Senayan, Jakarta.

Untuk rekod, ini merupakan pertemuan kelima melibatkan kedua-dua pemain. Dan kemenangan yang dicapai pada hari ini menjadi Zii Jia telah menumpaskan Kean Yew sebanyak tiga kali daripada lima pertembungan di pentas antarabangsa. 

Sementara itu, kemaraan Zii Jia ke peringkat separuh akhir akan membuatkannya bertemu samada pemain No.1 dunia, Viktor Axelsen atau pemain No.1 tuan rumah, Anthony Sinisuka Ginting bagi merebut tiket ke pentas final.

Featured Image: Victor Facebook

Komen