Sukan Komanwel: Kontinjen Malaysia Sasar Tujuh Pingat Emas
June 18, 2022 Hafizuddin Omar

Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran sebanyak tujuh pingat emas untuk diraih dalam temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang akan berlangsung bermula 28 Julai hingga 8 Ogos kelak.

Perkara tersebut diumumkan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr. Mohammad Norza Zakaria dalam satu sidang media yang turut disiarkan di platform media sosial milik badan terbabit, baru-baru ini.

Jelasnya, sasaran yang dibuat itu adalah menyamai sasaran yang diletakkan kepada Kontinjen Malaysia semasa mengambil bahagian dalam temasya terdahulu, Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

“Setakat ini, kita melihat kepada (sasaran) tujuh (pingat emas) di mana menyamai (sasaran) di Sukan Komanwel Gold Coast 2018,

“Walaupun di Gold Coast (kontinjen) seramai seratus tujuh puluh lebih, (kontinjen) pada kali ini kurang tetapi kami mengekalkan jumlah sasaran yang sama,” katanya.

Tambahnya lagi, sasaran untuk meraih tujuh pingat emas pada kali ini disandarkan kepada sukan badminton (dua pingat), gimranma (satu pingat), boling padang (satu pingat), angkat berat (satu pingat), skuasy (satu pingat) dan para powerlifting (satu pingat).

Dalam sidang media yang sama, Norza merangkap Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut mengumumkan bahawa juara powerlifting Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Bonnie Bunyau Gustin dan  pemain skuasy wanita No.1 negara, S. Sivasangari sebagai pembawa Jalur Gemilang di temasya terbabit.

Featured Image: Birmingham 2022

Komen