Tiada pentas akhir buat jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia apabila terpaksa akur tumpas kepada pemain No.1 dunia, Viktor Axelsen di peringkat separuh akhir Terbuka Indonesia 2022.
Axelsen yang juga merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berjaya menumpaskan Zii Jia menerusi tiga set permainan yang berlangsung sekitar 70 minit permainan.
Dalam perlawanan tersebut Zii Jia yang berada ranking kelima dunia terlebih dahulu memenangi set pertama dengan skor 21-19.
EAST VENTURES Indonesia Open 2022
MS – Semi final
19 21 23 🇩🇰Viktor AXELSEN🏅
21 11 21 🇲🇾Zii Jia LEE🕗 in 70 minutes
https://t.co/60lZcw4z99— BWFScore (@BWFScore) June 18, 2022
Namun begitu, Axelsen bangkit untuk meraih kemenangan di set kedua dengan skor 21-11 sekaligus mengheret permainan ke set penentuan (rubber set).
Di set ketiga, pertarungan antara Zii Jia dan Axelsen berlangsung sengit dengan kedua-duanya saling kejar mengejar untuk mendapatkan mata demi mata.
Akan tetapi kemenangan tetap berpihak kepada Axelsen apabila dia berhasil menamatkan pertarungan di set ketiga ini dengan skor 23-21 memihak kepadanya.
Untuk makluman semua, ini merupakan pertemuan ketujuh antara Axelsen dan Zii Jia di pentas antarabangsa. Kemenangan pada hari ini menjadikan Axelsen melebarkan rekod kemenangan kepada lima sementara hanya dua kemenangan sahaja berpihak kepada Zii Jia.
Sementara itu, Ddalam perlawanan akhir yang akan berlangsung esok, Axelsen yang mengesahkan kemaraan akan bertemu samada pemain China, Zhao Jun Peng atau pemain India, Prannoy Haseena Sunil Kumar bagi merebut gelaran juara saingan berstatus Jelajah Dunia Super 1000 BWF ini.
Featured Image: Victor Facebook