Artikel

FINA Tak Benarkan Atlet Transgender Bertanding Dalam Kategori Wanita

Badan induk sukan renang dunia, Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) membuat keputusan untuk tidak membenarkan lagi atlet transgender untuk mengambil bahagian dalam kategori wanita bagi saingan elit bermula 20 Jun 2022.

Menurut siaran media oleh badan induk terbabit, polisi tersebut mendapat undian 71.5% ahli gabungan FINA dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) 2022 yang berlangsung di Budapest, Ahad lalu.

Ahli-ahli gabungan membuat keputusan itu selepas mendengar ucapan daripada wakil kumpulan yang membuat kajian mengenai polisi baharu ini. 

Untuk makluman, kumpulan ini terdiri daripada tiga kumpulan pakar – kumpulan atlet, kumpulan sains dan perubatan serta kumpulan undang-undang dan hak asasi manusia.

Sementara itu, FINA memaklumkan akan membangunkan satu cadangan polisi baharu – kategori terbuka – yang membolehkan atlet transgender mengambil bahagian dalam saingan anjuran FINA.

Sebuah kumpulan pakar akan ditubuhkan oleh FINA untuk mencari cara yang paling efektif untuk mengadakan “kategori terbuka baharu” ini dalam tempoh enam bulan berikutnya.

komen