Artikel

Terbuka Malaysia Dinaik Taraf Menjadi Super 1000 – Setaraf All England Bermula Tahun Depan

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan saingan badminton Terbuka Malaysia akan dinaikkan taraf menjadi kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 1000 bermula tahun 2023 hingga 2026.

Menerusi pengumuman rasmi badan induk terbabit, naik taraf saingan terbabit menjadikan siri Jelajah Dunia (World Tour) mempunyai empat kejohanan tertinggi termasuk Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England), Terbuka Indonesia dan Terbuka China.

Untuk makluman semua, saingan Terbuka Malaysia sebelum ini adalah berstatus Super 750.

Sementara itu, saingan Terbuka India dan Terbuka Singapura pula dinaikkan kepada taraf Super 750 bersama-sama empat lagi saingan sedia ada – China Masters, Terbuka Jepun, Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

Manakala saingan Super 500 pula disertai oleh tiga kejohanan baharu iaitu Terbuka Australia, Terbuka Kanada dan Terbuka Finland. Ketiga-tiga saingan ini menyertai enam saingan sedia ada iaitu Terbuka Thailand, Malaysia Masters, Terbuka Jepun, Indonesia Masters, Terbuka Korea dan Terbuka Hong Kong.

Akhir sekali, saingan Super 300 pula ditambah dengan dua lokasi baharu yang dinaiktaraf daripada saingan Super 100. Dua saingan terbabit ialah Terbuka HYLO dan Orleans Masters. 

Antara saingan sedia adalah dalam kelompok Super 300 ialah Thailand Masters, Terbuka Amerika Syarikat, Spain Masters, Korea Masters, Terbuka Jerman, Terbuka Swiss, Terbuka Taipei, Terbuka New Zealand dan saingan Antarabangsa Syed Modi.

Secara keseluruhan, siri Jelajah Dunia BWF ini bakal mempunyai 31 pertandingan termasukan saingan Jelajah Dunia Akhir (World Tour Final) bermula tahun hadapan.

komen