Jordan Mintah Dipinjamkan Kepada KL City – Tidak Boleh Beraksi Menentang Terengganu
June 22, 2022 Hafizuddin Omar

Penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah akan menamatkan baki saingan Liga Malaysia 2022 dengan beraksi bersama skuad ibu kota, Kuala Lumpur City FC (KL City).

Ini selepas kelab asalnya, Terengganu FC mengumumkan meminjamkan khidmat pemain berusia 26 tahun kepada KL City sehingga 30 November menerusi satu makluman di pelbagai platform media sosialnya, hari ini.

Bagaimanapun, mengikut syarat yang dipersetujui oleh kedua-dua kelab, KL City tidak boleh menggunakan khidmat Mintah dalam perlawanan menentang Terengganu atau Terengganu II sepanjang tempoh pinjaman ini.

Untuk makluman semua, Jordan masih mempunyai kontrak bersama pasukan berpangkalan di pantai timur itu sehingga ke penghujung tahun 2023. Setelah tamat tempoh pinjaman ini, Mintah akan kembali semula bersama pasukan Terengganu.

Dengan menyertai KL City, Mintah yang sebelum ini beraksi bersama skuad simpanan, Terengganu II dalam saingan Liga Premier bukan sahaja dapat beraksi dalam saingan Liga Premier bahkan dalam saingan Piala AFC.

Featured Image: Terengganu FC

Komen