Penjaring Terbanyak Piala AFF 2010 Lancar Koleksi NFT Tersendiri
June 22, 2022 Hafizuddin Omar

Penyerang negara merangkap penjaring terbanyak saingan Piala AFF 2010, Safee Sali melancarkan koleksi NFT (non-fungible token) miliknya yang tersendiri yang berjudul ‘SEPULUH’, pada hari ini.

Difahamkan 10 koleksi digital yang akan dilelong di platform jual beli, OpenSea bermula hari ini adalah hasil kerjasamanya dengan Prime Sports NFT – bahagian sukan NFT di bawah Prime Sports International (PSI).

Peminat yang membida dan menjadi pemilik eksklusif kepada 10 koleksi NFT terhad ini akan mendapat peluang untuk berkongsi padang padang dengan Safee sendiri, mendapat cetakan berbingkai NFT dan akses kepada komuniti peribadi untuk ahlinya.

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai ‘SEPULUH’ ini, ianya diinspirasikan daripada pencapaian gemilang Safee ketika mewakili skuad kebangsaan beraksi dalam saingan Piala AFF 2010 seterusnya merangkul Anugerah Kasut Emas dengan rekod lima gol secara keseluruhan.

Ilustrasi NFT tersebut menggunakan gambaran ikonik yang masih kekal sebagai salah satu pencapaian terbesarnya di pentas antarabangsa untuk Malaysia.

“Visi saya untuk ‘SEPULUH’ adalah untuk mengenang kenangan terindah saya memakai jersi Harimau Malaya melalui seni digital dan membolehkan peminat memiliki sekeping cerita saya sebagai koleksi.

“Peminat saya telah memberi sokongan sepanjang karier saya dan SEPULUH NFT telah membuka pintu untuk mengeratkan hubungan saya bersama mereka,” kata Safee.

Sebagai tambahan, pelancaran ‘SEPULUH’ juga merupakan projek sulung dan cetusan idea Prime Sports NFT, pelopor dalam industri yang bertujuan untuk menyilangkan dunia sukan, seni dan budaya. 

Selain itu, projek ‘SEPULUH’ ini juga dalam perkongsian bersama Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan sebahagian daripada hasil jualan NFT tersebut akan disalurkan kepada dana pembangunan pemain bola sepak profesional di Malaysia.

Komen