Artikel

Habib Haroon Menjadi Pemain Yang Berbeza Berbanding Musim Lalu

Pemain import tengah Terengganu FC, Habib Haroon menjadi pemain yang cukup berbeza pada musim ini berbanding musim lalu.

Itu lontaran pandangan daripada penganalisis dan bekas penyerang kebangsaan, Rudie Ramli terhadap prestasi pemain berusia 21 tahun yang mempunyai pasport Bahrain itu pada saingan minggu ke-10 Liga Super.

Prestasi itu membuatkan Rudie memilih Habib sebagai salah seorang pemain yang mengisi senarai BEST XI bagi minggu terbabit.

“Habib banyak menjadi penggerak utama serangan malah sebelum jaringannya, Terengganu banyak mendapat peluang.

“Jaringannya memang cantik malah menjadi pencetus kepada kejayaan pasukan kerana kalau tidak, mungkin sukar Terengganu untuk menang.

“Jelas dia seorang pemain yang cukup penting kepada Terengganu musim ini malah saya lihat dia seorang pemain yang berbeza berbanding musim lalu,” katanya.

Selain daripada Habib, Rudie turut memilih pemain tengah Selangor FC, Brendan Gan yang kembali membuat penampilan pertamanya selepas pulih daripada kanser yang dihadapinya pada tahun lalu.

Sementara itu, antara pemain-pemain lain yang menjadi pilihannya ialah Quentin Cheng, Sharul Nazeem Zulpakar (Selangor), Hairiey Hakim Mamat dan Shahrul Nizam Ros Hasni (Terengganu).

Melengkapkan formasi 4-3-3 pilihannya, ianya diikuti oleh S. Kumaahran (PJ City), Sony Norde (Melaka United), Caion (Selangor) dan Faisal Halim (Terengganu).

Manakala untuk ketua jurulatih yang menjadi pilihannya untuk minggu ke-10 ialah Nafuzi Zain dari pasukan Terengganu.

Featured Image: Terengganu FC

komen