Perlawanan Tier 1: Malayan Tigress Dimalukan Bangladesh 6-0
June 24, 2022 • Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak wanita kebangsaan, Malayan Tigress dimalukan pasukan Bangladesh dengan jaringan besar dalam perlawanan antarabangsa tier 1 yang berlangsung di Stadium Bir Sherestha Shaheed Shipahi Mostafa Kamal, semalam.

Biarpun pasukan negara menghuni ranking ke-85 dunia – lebih baik berbanding Bangladesh yang berada di tangga ke-146 dunia – Malayan Tigress terpaksa akur tumpas dengan keputusan 6-0 tanpa balas.

Dalam perlawanan terbabit, Bangladesh berhasil menjaringkan empat gol pada separuh masa pertama menerusi Mossamat Akhi Khatun (9′,29′), Sabina Khatun (25′) dan Mossamat Sirat Jahan (44′).

Sementara itu, pada separuh masa kedua, Bangladesh menambah lagi dua jaringan menerusi Monika Chakma dan Srimoti Krishnarani pada minit 66’ dan 73’ masing-masing. Kedudukan ini kekal sehingga pengadil meniup wisel menamatkan permainan.

Untuk makluman, Malayan Tigress yang dibimbing oleh Jacob Joseph akan turun menentang Bangladesh sekali lagi pada hari  Ahad nanti. Perlawanan ini juga berstatus tier 1.

Kedua-dua perlawanan ini merupakan rangka persiapan skuad negara sebelum turun menyertai saingan Kejuaraan AFF Wanita 2022 di Filipina bermula 4 Julai kelak.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen