Terbuka Croatia: Justin Hoh Raih Kejuaraan Senior Kedua Untuk Tahun 2022
June 24, 2022 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki muda negara, Justin Hoh berhasil menambahkan koleksi kejuaraan peringkat seniornya pada tahun ini dengan memenangi saingan Terbuka Croatia 2022 – saingan Future Series BWF.

Pemain berusia 18 tahun ini merangkul kejuaraan berkenaan selepas berjaya menumpaskan lawannya yang merupakan pemain Vietnam, Nguyen Hai Dang dalam perlawanan akhir, semalam.

Dalam perlawanan terbabit, Justin menumpaskan pemain yang berada di ranking ke-296 dunia itu menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-15, 16-21 dan 21-18 dalam tempoh masa sekitar 1 jam dan 20 minit permainan.

Untuk makluman, sebelum bergelar juara bagi kejohanan ini, anak didik Datuk Misbun Sidek ini terlebih dahulu terpaksa mengharungi 8 perlawanan bermula daripada Peringkat Kelayakan Pusingan 128 sebelum melangkah ke perlawanan akhir.

Sebagai rekod, ini merupakan kejuaraan kedua peringkat senior yang dimenanginya pada tahun ini. Minggu lalu, Justin merangkul kejuaraan sulungnya dengan memenangi Saingan Antarabangsa Bonn 2022 di Jerman yang juga berstatus Future Series BWF.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen