FC Barcelona Berpindah Ke Stadium Olimpik Pada Musim 2023/24
June 24, 2022 Hafizuddin Omar

Kelab gergasi Liga Sepanyol, FC Barcelona tidak akan beraksi di laman ikoniknya, Stadium Camp Nou pada musim 2023-24 kelak.

Sebaliknya, pasukan berjulukan The Catalan itu akan turun bermain di stadium yang pernah dijadikan hos bagi temasya Sukan Olimpik 1992 Barcelona iaitu Stadium Olimpik Lluis Companys.

Perkara tersebut diumumkan selepas Barcelona mencapai persetujuan dengan pemilik stadium berkenaan, Majlis Bandaraya Barcelona pada awal minggu ini.

Ini berikutan, pada musim berkenaan, Camp Nou akan menjalani pengubahsuaian yang dinamakan sebagai “Espai Project” – sebuah projek transformasi Camp Nou dan kawasan sekitarnya (Les Corts).

Antara transformasi terbesar dalam “Espai Project” ini adalah meningkatkan kapasiti Camp Nou daripada 90,000 kepada 110,000 tempat duduk. Ini menjadikannya sebagai stadium ketiga terbesar dunia selepas Stadium Rungrado, Korea Utara dan Stadium Narendra Modi, India.

Selain itu, projek ini akan menjadikan stadium kebanggaan milik skuad The Catalan ini mempunyai bumbung yang menutupi keseluruhan tempat duduk serta dipasang dengan sistem penyejukan dan pemanasan.

Featured Image: FC Barcelona

Komen