Perlawanan Tier 1: Malayan Tigress ‘Bangkit’ Ikat Bangladesh Tanpa Bolos
June 27, 2022 Hafizuddin Omar

Jumaat lalu, skuad bola sepak wanita kebangsaan, Malayan Tigress dimalukan 6-0 oleh Bangladesh dalam perlawanan antarabangsa tier 1. 

Namun begitu, anak-anak buah Jacob Joseph mengelak daripada dimalukan sekali lagi dalam perlawanan kedua yang berlangsung di Stadium Bir Sherestha Shaheed Shipahi Mostafa Kamal, Dhaka, semalam.

Dalam perlawanan tersebut, Malayan Tigress berhasil mengikat Bangladesh dengan keputusan seri tanpa jaringan selepas beraksi selama 90 minit permainan.

Penjaga gol skuad negara, Azurin Mazlan menjadi penyumbang terbesar terhadap keputusan terbabit atas tindakan cemerlangnya mengekang pelbagai asakan berbahaya ke arah gawang Malayan Tigress.

Dengan tamatnya perlawanan ini, Malayan Tigress merekodkan satu kekalahan dan satu kemenangan daripada dua perlawanan atarabangsa yang turut berfungsi sebagai perlawanan pemanas badan sebelum turun beraksi dalam Kejuaraan AFF Wanita 2022 di Filipina kelak.

Skuad wanita negara akan turun beraksi dalam saingan ini bermula 4hb Julai menentang Singapura diikuti Indonesia, Filipina, Thailand dan Australia pada 6hb, 8hb, 10hb dan 12hb bagi saingan peringkat Kumpulan A.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen