Pemain Skuasy Wanita No.1 Negara Terbabit Kemalangan Jalan Raya & Terlepas Temasya Sukan Komanwel
June 27, 2022 Hafizuddin Omar

Pemain skuasy wanita No.1 negara, Sivasangari Subramaniam diberitakan dimasukkan ke hospital ekoran terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Maju Expressway (MEX), semalam.

Menurut akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times yang memetik laporan China Press, pemain berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan yang serius selepas kendaraan yang dinaikinya melanggar sebuah lori di lebuh raya berkenaan.

Kemudiannya, pemain yang menghuni ranking ke-19 dunia ini berjaya diselamatkan sebelum kenderaan yang dinaikinya itu terbakar. Bagaimanapun, dia mengalami kecederaan yang serius di kepala dan dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan, Sivasangari telah berada dalam keadaan sedar pada ketika ini.

Dengan kemalangan yang dialami oleh Sivasangari ini, secara langsungnya pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah yang turut ditugaskan sebagai pembawa Jalur Gemilang ini terlepas peluang untuk beraksi di temasya Sukan Komanwel 2022 Birmingham yang akan berlangsung bermula 28 Julai kelak.

Sehubungan dengan itu, Kontinjen Malaysia turut kehilangan salah seorang daripada atlet yang disasarkan untuk merangkul pingat emas menerusi sukan skuasy bagi kategori wanita di temasya berkenaan.

Featured Image: Sivasangari Twitter

Komen