Piala AFC: Fayadh, Al-Mardi & Ronald Pastikan Kedah Kutip 3 Mata Pertama
June 27, 2022 Hafizuddin Omar

Naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman FC (Kedah) berhasil memungut tiga mata pertama dalam kancah Piala AFC 2022 selepas menumpaskan Kaya FC, sebentar tadi.

Kedah yang dibimbing oleh Aidil Sharin Sahak mengutip mata tersebut selepas menumpaskan pasukan dari Filipina itu dengan keputusan 4-1 pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan G.

Dalam perlawanan terbabit, skuad berjulukan Sang Kenari itu meraih kemenangan hasil jaringan berganda oleh Fayadh Zulkifli (57’, 90+3’) serta satu gol daripada Mahmoud Al-Mardi (63’) dan Ronald Ngah Wanja (83’) masing-masing.

Sementara itu, Kaya FC pula mendapat jaringan saguhatinya menerusi Javier Augustine Ocampo Gayoso pada minit ke-86. 

Dengan kemenangan ini, Kedah dapat meletakkan diri mereka di tangga ketiga Kumpulan G. Mendahului saingan kumpulan ini adalah wakil Kemboja, Visakha FC (6 mata) dan diikuti dengan wakil tuan rumah, Bali United (3 mata).

Untuk makluman semua, selepas ini, Kedah akan turun menentang Visakha FC dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan G yang dijadualkan berlangsung pada 30 Jun (Khamis) nanti.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

Komen