Artikel

Kejohanan Dunia FINA: Pandelela Rinong Raih Gangsa Acara 10m Platform

Penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong berjaya membawa pulang pingat gangsa menerusi acara terjun 10 meter (m) platform wanita di Kejohanan Dunia FINA 2022 yang berlangsung di Budapest, Hungary.

Penerjun berusia 29 tahun tersebut berhasil memenangi pingat terbabit selepas mengutip 338.85 mata secara keseluruhan hasil daripada lima terjunan yang dilakukannya, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Sementara itu, dua penerjun China iaitu Chen Yuxi, 16 tahun (juara bertahan) dan Quan Hongchang, 15 tahun (pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2020) membolot pingat emas dan perak selepas menamatkan acara ini dengan pungutan mata 417.25 dan 416.95 masing-masing.

Untuk pengetahuan semua, ini merupakan kali kedua Pandelela membawa pulang pingat gangsa dalam acara individu di Kejohanan Dunia FINA ini. Kali pertama dia membawa pulang menerusi acara yang sama adalah semasa edisi 2015 yang berlangsung di Kazan, Rusia.

Sebagai tambahan, selepas ini, Pandelela akan mengambil bahagian dalam acara berpasangan bersama-sama Nur Dhabitah Sabri iaitu 10m platform seirama wanita. 

Dalam edisi 2019 yang lalu, dalam acara berpasangan yang sama, Pandela yang ketika itu bergandingan dengan Datuk Leong Mun Yee berhasil membawa pulang pingat perak selepas mengumpul 312.72 mata.

Featured Image: FINA

komen