Terbuka Malaysia: Soon Huat-Shevon Singkir Beregu Senegara Ranking Ke-9 Dunia
June 28, 2022 Hafizuddin Omar

Beregu campuran bebas (independent) negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai memulakan kempen saingan Terbuka Malaysia 2022 – Jelajah Dunia Super 750 BWF dengan langkah kanan.

Pasangan yang menghuni ranking ke-14 dunia ini merekodkan kemenangan dengan menyingkirkan beregu senegara yang turut merupakan pemain bebas, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing pada Pusingan 32, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Soon Huat-Shevon meraih kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-18, 19-21 dan 21-18 dalam tempoh masa satu jam permainan.

Kemenangan ini menjadikan Soon Huat-Shevon melebarkan rekod pertemuan ke atas Kian Meng-Pei Jing kepada lima kemenangan daripada tujuh pertemuan secara keseluruhan di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Soon Huat-Shevon akan turun membuat perhitungan dengan beregu Korea di ranking ke-99 dunia, Kim Won-ho dan Jeong Na-eun di Pusingan 16 kelak. 

Untuk makluman semua, pasangan ini mengesahkan kemaraan ke Pusingan 16 selepas berhasil menumpaskan beregu India di ranking ke-56 dunia, Venkat Prasad dan Juhi Dewangan di Pusingan 32, sebentar tadi.

Featured Image: Victor Facebook

Komen