Terbuka Malaysia: Yew Sin-Ee Yi Mudah Tundukkan ‘Patatimo Boys’ Di Pusingan 32
June 28, 2022 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki bebas (independent) negara, Ong Yew Sin dan Teo Eee Yi tidak mempunyai masalah untuk menundukkan pasangan muda yang sedang meningkat naik di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wan Arif Junadi dan Muhammad Haikal Nazri di Pusingan 32 saingan Terbuka Malaysia 2022. 

Dalam pertemuan terbabit, Yew Sin-Ee Yi yang berada di ranking kesepuluh dunia dengan mudahnya menumpaskan beregu yang terkenal dengan julukan ‘Patatimo Boys’ itu secara straight set di Gelanggang 2 bertempat di Axiata Arena, petang tadi. 

Pertarungan yang julung kalinya menemukan dua beregu negara ini berkesudahan dengan skor 21-19 dan 21-13 memihak kepada Yew Sin-Ee Yi dalam tempoh masa setengah jam sahaja. 

Walaupun tewas, ini merupakan satu pengalaman yang cukup berharga buat Arif-Haikal yang kini berada ranking ke-85 dunia jika bersandarkan kepada penampilan sulung pemain dari Terengganu dan Kelantan ini di saingan berstatus Jelajah Dunia Super 750 BWF.

Sementara itu, Yew Sin-Ee Yi yang mengesahkan kemaraan ke peringkat seterusnya akan bertemu pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2020 dari Taiwan, Lee Yang dan Wang Chi-lin di Pusingan 16 kelak.

Beregu Taiwan yang menghuni ranking keempat dunia ini mara setelah menumpaskan beregu Belanda, Ruben Jille dan Ties Van Der Lecq secara “straight set” dengan skor 21-9 dan 21-15 dalam tempoh masa 26 minit permainan.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen