Terbuka Malaysia: Sze Fei-Izzuddin Lepasi Ujian Awal, Beregu No.1 India Jadi Lawan Pusingan 16
June 28, 2022 Hafizuddin Omar

Halangan di Pusingan 32 berjaya dilepasi dengan cemerlang oleh beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin dalam saingan Terbuka Malaysia 2022 – Jelajah Dunia Super 750 BWF. 

Penghuni ranking ke-12 dunia ini melepasi halangan tersebut dengan mengatasi beregu Jepun, Keiichiro Matsui dan Yoshinori Takeuchi yang berada di tangga ke-31 dunia di Gelanggang 1, Axiata Arena, Bukit Jalil.

Dalam perlawanan tersebut, Sze Fei-Izzuddin merekodkan kemenangan secara “straight set” dengan skor yang berkesudahan 21-12 dan 21-12 dalam tempoh masa 35 minit permainan. 

Kemenangan ini menjadikan Sze Fei-Izzuddin melebarkan rekod kemenangan ke atas Matsui-Takeuchi kepada dua kemenangan berturut-turut di pentas antarabangsa.

Sebagai rekod, kedua-dua pasangan ini pernah bertemu buat julung kalinya sekitar lima tahun lalu dalam saingan Malaysia International Challenge 2017. Pertemuan tersebut turut memihak kepada Sze Fei-izzuddin dengan skor 21-19, 22-24 dan 21-15.

Sementara itu, Sze Fei-Izzuddin dapat meneruskan kemaraan ke Pusingan 16 akan bertemu beregu India yang menghuni ranking kelapan dunia, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty pada Khamis nanti.

Beregu No.1 India ini mengesahkan kemaraan selepas menumpaskan wakil muda negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun secara “straight set” dengan skor 21-18 dan 21-11 di Pusingan 32, sebentar tadi.  

Featured Image: Swiss Open

Komen