Terbuka Malaysia: Aaron-Wooi Yik Ke Pusingan 16, Bakal Berhadapan Dengan Beregu Singapura
June 29, 2022 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berjaya menempah tiket ke Pusingan 16 dalam saingan Terbuka Malaysia 2022 – Jelajah Dunia Super 750 BWF.  

Pasangan yang menghuni ranking keenam dunia ini mara selepas menumpaskan beregu dari negara matahari terbit, Akira Koga dan Taichi Saito yang berada di tangga ke-22 dunia pada peringkat Pusingan 32, sebentar tadi. 

Dalam perlawanan terbabit, Aaron-Wooi Yik menampilkan persembahan yang cemerlang dan berhasil mengalahkan Koga-Saito secara “straight set” dengan keputusan yang berkesudahan 21-18 dan 21-19.

Untuk makluman semua, pertarungan melibatkan kedua-dua pasangan yang berlangsung di Gelanggang 1 bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil ini mengambil masa 42 minit sebelum dapat ditentukan pemenangnya.

Sementara itu, Aaron-Wooi Yik yang dapat meneruskan kemaraan dalam saingan ini akan bertemu beregu Singapura yang menduduki ranking ke-50 dunia, Terry Hee Yong Kai dan Loh Kean Hean di Pusingan 16 kelak.

Pasangan dari negara seberang tambak ini mara selepas menumpaskan beregu Korea yang menghuni tangga ke-46 dunia, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae secara “straight set” dengan keputusan 21-14 dan 21-19.

Featured Image: Badminton Asia

Komen