Terbuka Malaysia: Zii Jia Rekod Kemenangan Kedua Berturut-Turut Ke Atas Nhat Nguyen
June 29, 2022 Hafizuddin Omar

Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memastikan kemenangan kedua berturut-turut dicetak ke atas pemain Ireland, Nhat Nguyen dalam saingan Terbuka Malaysia 2022. 

Penghuni ranking kelima dunia ini memastikan rekod kemenangan berkenaan selepas berhasil menumpaskan lawannya yang berada di tangga ke-40 dunia secara “straight set” dalam perlawanan Pusingan 32 yang berlangsung di Gelanggang 1, Axiata Arena, sebentar tadi.

Zii Jia mengesahkan kemenangan tersebut dengan skor 21-15 dan 21-11 dalam tempoh sekitar 50 minit permainan.

Untuk makluman semua, pertemuan pertama kali antara kedua-dua pemain ini turut memihak kepada Zii Jia. Ketika itu, Zii Jia berhasil menumpaskan Nhat Nguyen dalam saingan Terbuka HYLO 2021 yang berkesudahan dengan skor 22-20 dan 21-16.

Dengan kemaraan yang direkodkan, Zii Jia akan turun berentap menentang pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito di Pusingan 16 kelak.

Pemain Indonesia yang menghuni ranking ke-26 dunia ini mara selepas lawannya, pemain Denmark, Rasmus Gemke tidak meneruskan permainan di set kedua ekoran mengalami kecederaan.

Featured Image: Victor Facebook

Komen