Terbuka Malaysia: Pearly-Thinaah Bertembung Beregu China Yang Mencipta ‘Upset’ Ke Atas Pasangan Thailand
June 29, 2022 Hafizuddin Omar

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan tidak mempunyai masalah untuk melayakkan diri ke Pusingan 16 dalam saingan Terbuka Malaysia 2022 – Jelajah Dunia Super 750 BWF.

Penghuni di ranking kesepuluh dunia ini mengesahkan kemaraan tersebut selepas menumpaskan beregu China, Liu Xuan Xuan dan Xia Yu Ting yang berada di tangga ke-21 dunia di peringkat Pusingan 32, hari ini.

Dalam perlawanan tersebut, Pearly-Thinaah berjaya menumpaskan pasangan itu secara “straight set” dengan skor 22-20 dan 21-14 dalam tempoh 42 minit permainan yang berlangsung di Gelanggang 1.

Kemenangan ini menjadikan Pearly-Thinaah melebarkan rekod kemenangan ke atas pasangan ini kepada dua kemenangan berturut-turut. Sebelum ini, kedua-duanya pernah bertarung buat julung kalinya di saingan Terbuka Thailand 2022. Pertarungan ini turut dimenangi oleh Pearly-Thinaah secara “straight set” dengan skor 21-17 dan 21-11.

Sementara itu, di Pusingan 16 kelak, Pearly-Thinaah akan bertemu beregu China yang berada di ranking ke-33 dunia, Zhang Shu Xian dan Zheng Yu.  

Beregu ini mara ke Pusingan 16 selepas mencipta kejutan menumpaskan beregu Thailand yang menduduki tangga kelapan dunia, Jongkolphan Kititharakul dan Rawinda Prajongjai di Pusingan 32.

Dalam perlawanan terbabit, Shu Xian dan Zheng Yu berhasil menumpaskan pasangan Thailand ini secara “straight set” dengan skor 21-10 dan 21-8 dalam tempoh sekitar setengah jam permainan sahaja.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen