Pertahanan baharu yang diikat oleh Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat muncul sebagai pemain paling mahal beraksi dalam kancah Liga Malaysia pada ketika ini.
Berdasarkan semakan di portal informasi bola sepak antarabangsa, Transfermarkt, pemain kelahiran Sepanyol yang mempunyai darah Indonesia menerusi neneknya bernilai RM4.6 juta.
Angka tersebut menjadikannya sebagai pemain paling mahal mengatasi penyerang JDT, Fernando Forestieri yang kini bernilai RM4.03 juta serta penyerang Selangor, Hyuri Henrique yang bernilai RM2.53 juta.
Welcome to the Home of the Southern Tigers!#JordiAmat#NewSigning#JDTFamily pic.twitter.com/hK2OBaQM0e
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) June 29, 2022
Untuk makluman semua, Jordi yang pernah beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL), La Liga dan Liga Belgium menjadi milik skuad Harimau Selatan menerusi pengumuman melalui satu klip video yang dikongsikan di pelbagai platform media sosial pasukan berkenaan, semalam.
Dalam klip video berdurasi 38 saat itu juga, Jordi turut diberikan jersi bernombor 55 untuk digunakannya beraksi bersama JDT dalam kancah domestik serta saingan antarabangsa, Liga Juara-Juara AFC.
Kehadiran Jordi yang berusia 30 tahun ini juga adalah untuk menggantikan kekosongan slot pemain import yang ditinggalkan oleh pemain Brazil, Mauricio dos Santos Nascimento yang mengumumkan berpisah dengan JDT, baru-baru ini.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers