Artikel

Terbuka Malaysia: Beregu China Ranking 33 Dunia Ketepikan Pearly-Thinaah Di Pusingan 16

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan kandas di Pusingan 16 dalam saingan Terbuka Malaysia 2022 – Jelajah Dunia Super 750 BWF. 

Penghuni ranking kesepuluh dunia ini terpaksa akur dengan keputusan tersebut setelah diketepikan oleh beregu China, Zhang Shu Xian dan Zheng Yu yang menduduki ranking ke-33 dunia, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Pearly-Thinaah ditewaskan oleh pasangan terbabit secara “straight set” dengan skor yang berkesudahan 19-21 dan 14-21 dalam tempoh masa 42 minit permainan yang berlangsung di Gelanggang 1, Axiata Arena.  

Kekalahan ini sekaligus menghanguskan peluang buat Pearly-Thinaah ke peringkat suku akhir bagi saingan ini.

Sementara itu, gandingan Zhang-Zheng ini akan turun menentang beregu Indonesia yang baru sahaja bergandingan bermula bulan ini, Febby Valencia dan Ribka Sugiarto di peringkat suku akhir kelak. 

Pasangan Indonesia yang menghuni ranking ke-209 dunia ini mara selepas menumpaskan beregu India-Amerika, Srivedya Gurazada dan Ishika Jaiswal di Pusingan 16, hari ini.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

komen