Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia gagal melayakkan diri ke peringkat suku akhir Terbuka Malaysia 2022 selepas tumpas kepada pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito di Pusingan 16, sebentar tadi.
Pemain kelahiran Alor Setar yang menghuni ranking kelima dunia ini tumpas kepada pemain yang berada di tangga ke-26 dunia itu menerusi tiga set permainan yang berlangsung dalam tempoh melebihi satu jam permainan.
Dalam pertarungan tersebut, Zii Jia terlebih dahulu tumpas pada set pertama dengan skor 19-21. Bagaimanapun dia berjaya bangkit merekodkan kemenangan pada set kedua dengan keputusan 21-19.
PETRONAS Malaysia Open 2022
MS – Round of 16
21 19 21 🇮🇩Shesar Hiren RHUSTAVITO🏅
19 21 16 🇲🇾Zii Jia LEE🕗 in 66 minutes
https://t.co/KG0qeVea7X— BWFScore (@BWFScore) June 30, 2022
Ketika di set penentuan, pemain berusia 24 tahun ini tidak berhasil mengulangi persembahannya di set kedua dan akhirnya tumpas pungutan mata 16-21 sekaligus menghanguskan peluangnya untuk beraksi peringkat suku akhir saingan Jelajah Dunia Super 750 BWF ini.
Sementara itu, bekas pemain No.1 dunia dari Jepun, Kento Momota menantikan kehadiran Shesar di peringkat suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada hari esok.
Momota yang berada di ranking kedua dunia pada saat ini mara selepas menumpaskan pemain Hong Kong, Ng Ka Long Angus (ranking ke-13) di Pusingan 16 menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 11-21, 21-8 dan 21-18 dalam tempoh 55 minit.
Featured Image: Victor Facebook
komen
Tiada komen
Tiada lagi komen untuk artikel ini.
Jadi yang pertama untuk komen!