Terbuka Malaysia: Anna-Mei Xing Buat Kejutan Singkir Beregu No.3 Dunia
June 30, 2022 Hafizuddin Omar

Satu kejutan dilakar oleh beregu wanita negara, Anna Cheong dan Teoh Mei Xing dengan menyingkirkan pasangan yang berada di ranking ketiga dunia, Lee So-hee dan Shin Seung-chan di peringkat Pusingan 16 saingan Terbuka Malaysia 2022.

Biarpun berada di kedudukan yang jauh lebih rendah iaitu di ranking ke-44 dunia, Anna-Mei Xing berhasil mengatasi pasangan dari Korea ini menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 18-21, 21-12 dan 21-15.

Pertemuan sulung melibatkan Anna-Mei Xing menentang Lee-Shin yang merupakan sebahagian daripada skuad juara Piala Uber 2022 ini berlangsung dalam tempoh hampir satu jam permainan di Gelanggang 3, Axiata Arena.

Sementara itu, dengan kemenangan yang diraih ini, Anna-Mei Xing berhasil melayakkan diri ke peringkat suku akhir saingan berstatus Jelajah Dunia Super 750 BWF ini.

Di peringkat ini, Anna-Mei Xing akan bertemu samada beregu Thailand (ranking ke-195), Supissara Paewsampran dan Puttita Supajirakul atau beregu Jepun (ranking keenam), Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara pada hari esok.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen