Artikel

Kejohanan Dunia FINA: Pendelela-Dhabitah Menang Gangsa Acara 10m Platform Seirama

Gandingan penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri berhasil membawa pulang pingat gangsa daripada acara terjun 10 meter (m) platform seirama wanita di Kejohanan Dunia FINA 2022.

Pasangan penerjun berusia 29 dan 22 tahun masing-masing ini membawa pulang kilauan pingat terbabit selepas mengutip 298.68 mata daripada lima terjunan yang dilakukannya.

Pungutan mata itu hanya berbeza 0.72 mata berbanding gandingan Amerika Syarikat, Delaney Schell dan Katrina Young yang mengumpul 299.40 mata sekaligus mengatasi Pandelela-Dhabitah dan membawa pulang kilauan pingat perak daripada acara ini.

Sementara itu, pingat emas pula menjadi milik gandingan penerju dari China, Quan Hongchan dan Chen Yuxi yang berusia 15 dan 16 tahun masing-masing setelah merekodkan 368.40 mata daripada lima terjunan secara keseluruhan.

Untuk makluman semua, ini merupakan pingat keempat yang diraih oleh Pandelela dalam kariernya menerusi acara platform 10m seirama di Kejohanan Dunia FINA.

Sebelum ini, dia pernah meraih satu pingat perak serta dua gangsa semasa bergandingan bersama Datuk Leong Mun Yee.

Manakala, pingat gangsa ini pula menjadi medal yang pertama dipungut oleh Dhabitah dalam kariernya di Kejohanan Dunia FINA.

Featured Image: Facebook Nur Dhabitah Sabri

komen