Terbuka Malaysia: Pasangan No.6 Dunia Jadi Batu Penghalang Anna-Mei Xing Ke Separuh Akhir 
July 1, 2022 Hafizuddin Omar

Pasangan beregu wanita negara, Anna Cheong dan Teoh Mei Xing terpaksa akur gagal melayakkan diri ke pentas separuh akhir Terbuka Malaysia 2022 – Jelajah Dunia Super 750 BWF.

Ini selepas pasangan Jepun yang berada di ranking keenam dunia, Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara berhasil menumpaskan mereka di peringkat suku akhir yang berlangsung di Axiata Arena, petang tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Anna-Mei Xing yang berada di tangga ke-44 dunia ditumpaskan secara “straight set” dengan skor yang berkesudahan 15-21 dan 21-23 dalam tempoh 44 minit di Gelanggang 2.

Untuk makluman semua, ini merupakan pertembungan pertama yang direkodkan oleh kedua-dua beregu ini di pentas antarabangsa. 

Sebelum ini, Anna-Mei Xing mencipta kejutan di Pusingan 16 dengan mengalahkan beregu No.3 dunia dari Republik Korea, Lee So-hee dan Shin Seung-chan sebelum melayakkan diri ke peringkat suku akhir, hari ini. 

Sementara itu, di peringkat separuh akhir esok, Matsumoto-Nagahara akan turun menentang beregu China yang berada di ranking ke-33 dunia, Zhang Shu Xian dan Zheng Yu untuk merebut tiket ke pentas final.

Beregu China ini mara selepas menumpaskan pasangan Indonesia yang menghuni ranking ke-209 dunia, Febby Valencia dan Ribka Sugiarto secara “straight set” 21-13 dan 21-14. 

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen