CEO Melaka United: Penjaring Terbanyak Liga Super 2021 Bukan Dipinjam Daripada JDT
July 2, 2022 Hafizuddin Omar

Melaka United FC (MUFC) menafikan dakwaan penyerang yang diikatnya pada penghujung Januari lalu iaitu Ifedayo Olusegun adalah pemain yang dipinjam daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Wira Justin Lim menyatakan, “Kami ingin menegaskan bahawa Ifedayo adalah pemain yang berkontrak penuh bersama Melaka United FC sejak awal musim ini dan bukan berstatus pinjaman dari JDT seperti dua lagi pemain iaitu Fadhli Shas dan Syazwan Andik.”

Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menafikan sebuah laporan akhbar tempatan yang mendakwa Ifedayo merangkap penjaring terbanyak Liga Super bersama Selangor FC pada musim lalu merupakan pinjaman daripada skuad Harimau Selatan.

Justin turut menambah, “laporan berkenaan adalah tidak tepat dan telah diputarbelitkan daripada kenyataan sebenar oleh pemangku ketua jurulatih, Mohd Asri Ninggal.”

Dalam satu kenyataan media yang lain, Asri menjelaskan hanya dua pemain sahaja tidak dapat diturunkan menentang JDT dalam perlawanan Liga Super pada malam ini iaitu Fadhli Shas dan Syazwan Andik kerana berstatus pinjaman daripada pasukan tersebut.

Bagaimanapun, Ifedayo pula tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan “hamstring” ketika sesi latihan bersama pasukan. Ketiadaan Ifedayo itu akan digantikan dengan penyerang senior tempatan, Norshahrul Idlan Talaha atau terkenal dengan panggilan Matyo.

Featured Image: Melaka United FC

Komen