Terbuka Malaysia: Perseorangan Lelaki No.1 & No.2 Dunia Berentap Di Pentas Akhir
July 2, 2022 Hafizuddin Omar

Perlawanan akhir bagi kategori lelaki dalam saingan Terbuka Malaysia 2022 menyaksikan pertembungan antara pemain No.1 dunia, Viktor Axelsen dan No.2 dunia, Kento Momota.

Kedua-dua pemain perseorangan lelaki terbaik dunia pada saat ini mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir, hari ini.

Momota dari Jepun terlebih dahulu mengesahkan kemaraan tersebut selepas berhasil menumpaskan perseorangan No.1 Thailand, Kunlavut Vitidsarn secara “straight set” dengan skor yang berkesudahan 21-11 dan 21-12 dalam tempoh 42 minit permainan.

Sementara itu, Axelsen dari Denmark pula mara setelah menundukkan pemain Indonesia yang berada di ranking kelapan dunia, Jonatan Christie menerusi tiga set permainan dengan pungutan mata 21-15, 20-22 dan 21-11 dalam tempoh masa 71 minit permainan.

Untuk makluman semua, ini merupakan pertemuan yang pertama melibatkan Axelsen dan Momota selepas pertarungan akhir sekitar lapan bulan yang lalu dalam saingan Terbuka Denmark 2021.

Bercakap mengenai pertemuan ini, dua pemain terbaik dunia pada saat ini telah bertarung sebanyak 16 kali di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, Momota yang berusia 27 tahun mempunyai rekod yang cukup positif apabila bertemu Axelsen dengan mencatatkan 14 kemenangan daripada 16 pertemuan terbabit.

Namun begitu, jika dilihat kepada persembahan semasa, Axelsen berada dalam prestasi terbaiknya pada ketika ini dengan merekodkan 14 kemenangan berturut-turut. 

Kemenangan itu dirakamkan sejak daripada saingan Indonesia Masters diikuti Terbuka Indonesia pada bulan lalu dimana dia muncul juara dalam kedua-dua kejohanan terbabit sebelum mengambil bahagian di saingan Terbuka Malaysia, minggu ini..

Featured Image: Viktor Axelsen Instagram & Yonex Japan

Komen