Beregu Campuran No.1 Dunia Menangi Terbuka Malaysia – Kejuaraan Kelima Berturut-turut
July 3, 2022 Hafizuddin Omar

Pasangan No.1 dunia, Zheng Si Wei dan Huang Ya Qiong muncul selaku pemenang bagi kategori beregu campuran saingan Terbuka Malaysia 2022 – Jelajah Dunia Super 750 BWF.

Beregu dari China ini mengesahkan kejuaraan selepas berhasil menumpaskan wakil Thailand merangkap pasangan yang berada di ranking kedua dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Axiata Arena, sebentar tadi.

Dalam perlawanan terbabit, Si Wei-Ya Qiong berjaya mengalahkan Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai secara “straight set” dengan skor yang berkesudahan 21-13 dan 21-18 dalam tempoh masa 35 minit permainan.

Berdasarkan “head-to-head” di pentas antarabangsa, kemenangan yang direkodkan pada hari menjadikan Si Wei-Ya Qiong telah meraih 10 kemenangan daripada 13 pertemuan menentang Puavaranukroh-Taerattanachai.

Sebagai tambahan, ini merupakan kejuaraan kelima berturut-turut yang dimenangi oleh Si Wei-Ya Qiong untuk tahun 2022 selepas meraih gelaran Kejohanan Badminton Asia (BAC), Terbuka Thailand, Indonesia Masters dan Terbuka Indonesia.

Ini juga bermakna, Si Wei-Ya Qiong turut merekodkan 25 kemenangan berturut-turut hasil daripada muncul juara daripada lima kejohanan terbabit.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen