Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berpangkalan di London, Arsenal mengumumkan kedatangan pemain baharunya, Gabriel Jesus pada hari ini.
Menurut laporan The Athletic, kedatangan pemain kelahiran Brazil yang beraksi bersama Manchester City sebelum ini dilengkapkan dengan perjanjian perprindahan yang bernilai sebanyak £45 juta.
Turut difahamkan oleh portal sukan antarabangsa tersebut, Jesus diikat oleh skuad berjulukan The Gunners ini dengan kontrak selama lima tahun.
🇧🇷 Nosso Novo Número Nove
— Arsenal (@Arsenal) July 4, 2022
Sementara itu, menerusi perkongsian foto-foto pengumuman kedatangan Jesus oleh Arsenal, pemain berusia 25 tahun ini akan menyarung jersi bernombor 9 bermula saingan baharu, musim 2022/23 kelak.
Untuk makluman semua, sepanjang beraksi bersama skuad The Cityzen selama empat tahun setengah, Jesus telah mencatatkan 236 penampilan dalam semua kejohanan.
Daripada penampilan tersebut, Jesus berhasil merekodkan 95 jaringan gol serta mencetak 46 bantuan gol kepada rakan sepasukannya di Manchester City.
Bersama kelab itu juga, Jesus telah merasai nikmat menjuarai beberapa gelaran seperti empat kali juara EPL, tiga kali juara Piala Liga serta satu kali juara Piala FA.
Manakala bersama skuad negaranya, Brazil, pemain kelahiran Sao Paolo ini telah merekodkan 55 penampilan, menjaringkan 19 gol dan mencetak 13 bantuan gol.
Featured Image: Arsenal