City Football Group (CFG) yang merupakan pemilik kepada Manchester City (Man City) menambah satu lagi kelab bola sepak di bawah pegangannya.
Terbaru, kelab yang beraksi dalam kancah bola sepak Itali, Palermo FC menjadi miliknya selepas mengambil alih pegangan majoriti pasukan tersebut.
Perkara ini turut dimaklumkan oleh Palermo menerusi satu kenyataan rasmi di laman sesawang dan pelbagai platform media sosial milik pasukan berpangkalan di Pulau Sicily, semalam.
Welcome to the family, @Palermofficial! 💙
Best of luck! https://t.co/pnfA18RzCX
— Manchester City (@ManCity) July 4, 2022
Sementara itu, walaupun telah dimiliki oleh CFG, pemilik lama pasukan berkenaan, Dario Mirri akan kekal sebagai Presiden dan Ahli Lembaga Pengarah Palermo FC.
Bagi musim 2021-22 kelak, Palermo akan beraksi dalam saingan divisyen dua, Serie B. Mereka mendapat promosi ini selepas berjaya menumpaskan Padova 2-0 secara agregat dalam perlawanan “play-off”, baru-baru ini.
Untuk makluman semua, di bawah payung CFG yang ditubuhkan pada tahun 2013 ini, mereka memiliki serta mempunyai pegangan terhadap 12 kelab bola sepak di seluruh dunia.
Selain daripada Man City, mereka memiliki pegangan dalam New York City FC (Amerika Syarikat), Melbourne FC (Australia), Yokohama F. Marinos (Jepun), Montevideo City Torque (Uruguay), Girona Futbol Club (Sepanyol), Sichuan Jiuniu FC (China), Mumbai City FC (India), Lommel SK (Belgium), Estac (Perancis) dan terbaru, Palermo FC (Itali).
Selain itu, mereka turut menjalinkan kerjasama dengan sebuah kelab berpangkalan di Bolivia iaitu Club Bolivar.