Stadium yang menjadi ‘home’ buat pasukan Kelantan FC dan Kelantan United FC iaitu Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu kini berwajah baharu.
Wajah baharu itu hadir selepas melalui proses naik taraf yang bermula September tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 24 Ogos kelak.
Menerusi perkongsian oleh Urus Setia Penerangan Dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan antara pembaharuan yang ditampilkan adalah pemasangan tempat duduk baharu di bahagian “grandstand”, cat merah dan kelabu di majoriti tempat duduk terbuka, baik pulih bilik persalinan untuk pemain serta tandas untuk penonton.
Difahamkan, naik taraf tersebut turut merangkumi pemasangan lampu limpah baharu yang mematuhi piawaian penganjur bola sepak negara, Malaysian Football League (MFL) serta pemasangan blok laluan di pintu masuk astaka stadium.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, YB Roslan Wan Hamat memaklumkan kos naik taraf ini berjumlah RM5.5 juta secara keseluruhan dimana RM5 juta disalurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Manakala RM400,000 pula datangnya daripada Program Strategik Pemerkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan baki RM100,000 lagi adalah menerusi Kerajaan Negeri melalui portfolionya.
“Kos bagi penukaran empat unit lampu limpah sahaja telah mencecah RM3.4 juta dan ia perlu ditukar segera kerana usianya telah hampir setengah abad,” katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor.
Featured Image: Urus Setia Penerangan Dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan