Malaysia Masters: Tze Yong Ke Pusingan 16, Bakal Berentap Menentang Pemain No.4 Dunia
July 6, 2022 Hafizuddin Omar

Perseorangan muda lelaki negara, Ng Tze Yong bakal berentap menentang pemain No.4 dunia dari Taiwan, Chou Tien Chen di Pusingan 16 saingan Malaysia Masters 2022.

Pemain negara berusia 22 tahun ini menempah tiket kemaraan ke peringkat tersebut selepas menyingkirkan pemain Kanada yang menghuni ranking ke-31 dunia, Brian Yang di Pusingan 32, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Tze Yong berjaya mencatatkan kemenangan secara “straight set” dengan skor 21-15 dan 21-15 dalam tempoh masa 46 minit permainan.

Untuk makluman, ini merupakan pertemuan sulung melibatkan kedua-dua pemain pada peringkat senior di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Tze Yong yang meneruskan kemaraan dalam saingan berstatus Jelajah Dunia Super 500 BWF ini berentap pemain No.4 dunia dari Taiwan, Chou Tien Chen di Pusingan 16.

Tien Chen mara selepas menumpaskan pemain India, Sameer Verma di Pusingan 32 dengan skor yang berkesudahan 10-21, 21-12 dan 21-14.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen