Artikel

Malaysia Masters: Tang Jie-Valeree Cipta Kejutan Singkir Beregu No.12 Dunia

Pasangan campuran yang bergandingan sejak awal Jun lalu, Chen Tang Jie dan Valeree Siow mencipta kejutan menyingkirkan beregu Jerman yang menghuni ranking ke-12 dunia daripada saingan Malaysia Masters 2022.

Walaupun mereka berada di ranking ke-150 dunia pada saat ini, Tang Jie-Valeree berhasil merekodkan kemenangan secara “straight set” ke atas Mark Lamsfuss dan Isabel Lohau di Pusingan 32, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Tang Jie-Valeree meraih kemenangan dengan keputusan 21-17 dan 21-11 dalam tempoh masa 33 minit permainan bertempat di Gelanggang 1, Axiata Arena Bukit Jalil.

Kemenangan ini membolehkan Tang Jie-Valeree mara ke peringkat Pusingan 16 dalam saingan bertaraf Jelajah Dunia Super 500 BWF ini.

Menanti mereka di peringkat tersebut adalah beregu Thailand yang menduduki ranking ke-22 dunia, Supak Jomkoh dan Supissara Paewsampran.

Pasangan ini meraih kemaraan ke Pusingan 16 selepas menyingkirkan beregu Indonesia, Zachariah Sumanti dan Hediana Julimarbela secara “straight set” dengan skor 21-18 dan 21-16 di Pusingan 32.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen