Pemain kelahiran Gabon yang pernah beraksi selama satu musim bersama Sabah FC, Levy Madinda kini menjadi milik Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kemasukan pemain tengah berusia 30 tahun itu dimaklumkan menerusi satu klip video berdurasi 34 saat yang dimuat naik di pelbagai platform media sosial milik JDT, hari ini.
Welcome to the Home of the Southern Tigers! 🔵🔴#LevyMadinda#NewSigning#JDTFamily pic.twitter.com/PR3pc4KqvJ
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) July 7, 2022
Menerusi video terbabit, Madinda yang pernah beraksi bersama-sama pemain terkenal, Pierre-Emerick Aubameyang dalam skuad kebangsaan Gabon turut didedahkan akan menyarung jersi bernombor 92 bersama skuad Harimau Selatan ini.
Namun begitu, tidak dapat dipastikan lagi samada Madinda akan beraksi bersama skuad senior dalam saingan Liga Super atau skuad simpanan, JDT II dalam kancah Liga Premier.
Untuk makluman semua, sepanjang beraksi bersama Sabah musim lalu, Madinda berhasil tampil sebanyak 16 kali dalam saingan Liga Super serta merekodkan 4 gol dan 2 bantuan gol.
Sumbangannya itu membantu Sabah menamatkan saingan di tangga kesembilan sekaligus menyelamatkan skuad berjulukan The Rhinos ini daripada terjerumus ke kancah Liga Premier.
Sekitar Ogos tahun lalu, Sabah mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangannya dan berpisah dengan pemain tersebut secara rasminya.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers