Peminat Kuala Lumpur City FC (KL City) berpeluang untuk melihat kelibat penyerang baharu, Jordan Mintah ketika perlawanan menentang Selangor FC dalam saingan Piala FA, malam nanti.
Ketua jurulatihnya, Bojan Hodak tidak menolak kemungkinan untuk menurunkan pemain yang dipinjam daripada Terengganu FC ini di bahagian serangan menggantikan Kevin Koubemba.
Pada masa yang sama, jurulatih kelahiran Croatia turut mengesahkan semua pemainnya berada dalam keadaan terbaik kecuali J. Partiban.
“Saya boleh turunkan Jordan Mintah dalam perlawanan ini cuma dia masih perlukan masa untuk dapatkan persefahaman dengan pemain lain.
“Dia bakal mengambil tempat Kevin Koubemba dan diharapkan kehadirannya boleh membantu dalam aspek variasi serangan pasukan.
“Semua pemain berada di tahap terbaik kecuali pemain sayap, J. Partiban yang mungkin terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan,” katanya.
Sementara itu, Bojan turut tidak mahu rekod positif pertemuan lalu menentang Selangor dijadikan sandaran dalam perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya nanti.
“Sudah lima kali kami bertemu dari musim lalu dengan KL City menang dua daripadanya dan seri tiga kali.
“Walaupun pasukan saya belum pernah tewas kepada Selangor tetapi semua perlawanan berlangsung dengan sengit dan sesiapa sahaja boleh menang.
“Ditambah sentimen Lembah Klang ‘derby’, sudah pasti kedua-dua pasukan mahukan kemenangan bagi saingan Piala FA kerana kejohanan ini sangat berbeza dengan liga.
“Namun saya boleh katakan tekanan buat masa ini memihak kepada Selangor kerana dengan bajet yang lebih besar dan penyokong lebih ramai, sudah tentu mereka amat mengharapkan kemenangan,” katanya.
Featured Image: Terengganu FC