Artikel

Ranking BWF: ‘Patatimo Boys’ Daki 11 Anak Tangga Selepas Mara Ke Suku Akhir Malaysia Masters

Beregu lelaki negara yang terkenal dengan julukan ‘Patatimo Boys’, Wan Arif Junaidi dan Muhammad Haikal Nazri merekodkan peningkatan yang ketara dalam ranking dunia, minggu ini.

Menerusi kemaskini badan induk, Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Arif-Haikal mendaki sebanyak 11 anak tangga sekaligus menduduki tangga ke-69 dunia, pada hari ini.

Peningkatan tersebut disumbangkan oleh kemaraan mereka ke peringkat suku akhir Malaysia Masters – Jelajah Dunia Super 500 BWF – minggu lalu.

Bagaimanapun, perjalanan pemain berusia 20 dan 19 tahun masing-masing ini terhenti di peringkat tersebut ekoran tumpas kepada beregu Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto.

Namun begitu, kemaraan ini telah memberikan pemain kelahiran Terengganu dan Kelantan masing-masing ini pertambahan 5,040 mata. 

Secara keseluruhan, Arif-Haikal telah mengumpul 28,370 mata secara keseluruhan.

Sementara itu, tiga lagi beregu negara dikesan merekodkan peningkatan yang ketara iaitu gandingan Nur Mohd Azriyn-Lim Khim Wah, Chang Yee Jun-Yap Roy King dan Boon Xin Yuan-Wong Tien Ci.

Kedua-dua beregu ini meraih peningkatan sebanyak 12, 23 dan 11 anak tangga masing-masing. Ini menjadikan mereka menghuni ranking ke-84, ke-98 dan ke-128 pada ketika ini.

Featured Image: Petronas Brands Instagram

komen