Bekas Bintang Man Utd, Luis Nani Beralih Angin Sertai Kelab Asia
July 12, 2022 Hafizuddin Omar

Penyerang sayap lincah yang pernah tampil sebanyak 229 kali bersama Manchester United (Man Utd), Luis Nani masih lagi bergelar pemain bola sepak profesional.

Walaupun bakal menjengah usia 36 tahun pada 17 November nanti, pemain kelahiran Amadora, Portugal ini diperkenalkan sebagai pemain baharu sebuah pasukan yang berpangkalan di Australia iaitu Melbourne Victory, pada hari ini.

Menerusi makluman kelab terbabit, pemain yang pernah merangkul pelbagai gelaran domestik dan antarabangsa bersama skuad Red Devils ini diikat dengan kontrak selama dua tahun bersama Melbourne Victory.

Ketua jurulatih, Tony Popovic menyifatkan kedatangan Nani bukan sahaja memanfaatkan pasukannya bahkan menjadi aset buat kancah bola sepak yang disertai mereka iaitu A-League.

Untuk makluman semua, sebelum menyertai Melbourne Victory, Nani menyertai Venezia FC pada Januari 2022 dengan kontrak selama 18 bulan.

Namun begitu, Nani dan Venezia FC yang tersingkir ke saingan Serie B mencapai persetujuan bersama untuk berpisah pada minggu lalu selepas tampil sebanyak 10 kali serta mencetak 2 “assist”.

Sebagai tambahan, Nani merupakan pemain baharu yang ketujuh selepas Tomi Juric, Paul Izzo, George Timotheou, Noah Smith, Eli Adams dan Ahmad Taleb diikat oleh Melbourne Victory menjelang saingan baharu 2022-23.

Featured Image: A-League & Man Utd

Komen