Artikel

The World Games: Natasha-Li Jane Bawa Pulang Gangsa Acara Boling Beregu Wanita

Pasangan wanita boling tenpin negara, Natasha Mohamed Roslan dan Sin Li Jane berhasil membawa pulang pingat gangsa daripada temasya The World Games 2022 yang berlangsung di Birmingham, Amerika Syarikat.

Kilauan pingat tersebut menjadi milik Natasha-Li Jane selepas mereka berhasil menumpaskan gandingan lawannya dari Colombia, Juliana Franco dan Clara Guerrero dalam pertarungan penentuan pingat gangsa yang berlangsung awal pagi tadi, waktu Malaysia.

Pertarungan tersebut dimenangi oleh Natasha-Li Jane secara “straight set” dengan skor 235-204 dan 247-237 di Kompleks Konvensyen Birmingham-Jefferson, Alabama.

Baca: Skuad Wanita Negara Raih Perak di Kejohanan Boling Dunia 2021

Terdahulu, Natasha-Li Jane terlepas peluang untuk mara ke perlawanan akhir apabila tumpas kepada beregu Denmark, Mika Guldbaek dan Mai Ginge Jensen di peringkat separuh akhir.

Sebagai tambahan, gangsa yang berjaya dikutip oleh Natasha-Li Jane ini menamatkan kemarau pingat selama 13 tahun oleh kem Malaysia dalam acara boling beregu wanita ini.

Untuk makluman semua, The World Games merupakan sebuah temasya sukan antarabangsa yang mempertandingkan sukan-sukan yang tidak tersenarai di temasya Sukan Olimpik.

Ianya dianjurkan setahun selepas temasya Sukan Olimpik musim panas setiap empat tahun sekali. Selain itu, The World Games dianjurkan oleh sebuah badan antarabangsa, International World Games Association (IWGA) dan turut diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC). 

Featured Image: Bowling Malaysia

komen