Artikel

Kejuaraan B-19 AFF: Malaysia Mara Ke Final Kali Keempat Berturut-Turut

Skuad bola sepak negara bawah 19 tahun (B-19) berjaya menempah kemaraan ke perlawanan akhir Kejuaraan B-19 AFF buat kali keempat berturut-turut.

Kemaraan itu dicipta selepas pasukan bimbingan Hassan Sazali Waras ini melakar kemenangan yang mengejutkan ke atas Vietnam merangkap juara Kumpulan A dengan keputusan 3-0 dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung petang tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia berhasil mencetak kemenangan menerusi jaringan yang disumbangkan oleh Adam Farhan Faizal (26′), Haiqal Haqeemi Hairi (70′) dan Haykal Danish Haizon (88′).

Dengan kemenangan ini, Malaysia berhasil mara ke perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 15 Julai kelak di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi, Indonesia.

Sementara itu, lawan yang akan dihadapi oleh Malaysia di perlawanan akhir tersebut sedang ditentukan pada ketika ini samada Thailand (naib juara Kumpulan A) atau Laos (juara Kumpulan B).

Untuk makluman semua, Malaysia tidak pernah gagal mara ke perlawanan akhir kejohanan ini sejak daripada edisi 2017 yang lalu diikuti dengan edisi 2018 dan terakhir edisi 2019.

Featured Image: VFF

komen