Terbuka Singapura: 5 Beregu Lelaki Negara Kandas Berjemaah Di Pusingan 16
July 14, 2022 Hafizuddin Omar

Tiada sebarang kelibat pasangan beregu lelaki negara yang akan beraksi di peringkat suku akhir Terbuka Singapura 2022, esok.

Ini berikutan kelima-lima wakil negara termasuk beregu bebas (indpendent) tewas kepada lawan masing-masing di Pusingan 16, pada hari ini.

Pasangan pertama yang tersingkir adalah Goh V Shem dan Low Juan Shen. Mereka tumpas kepada beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani dengan keputusan 11-21 dan 18-21.

Pasangan kedua yang terpaksa akur tersingkir daripada saingan ini ialah Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi. Beregu No.10 dunia ini ditumpaskan pasangan Taiwan, Lu Ching Yao dan Yang Po Han dengan skor 18-21 dan 19-21.

Seterusnya, Arif Junaidi dan Muhammad Haikal yang popular dengan julukan ‘Patatimo Boys’ turut mengalami nasib yang sama. Mereka terkeluar daripada saingan ini selepas tumpas kepada beregu tuan rumah, Terry Hee Yong Kai dan Loh Kean Hean dengan keputusan 18-21 dan 17-21.

Pasangan negara yang menghuni ranking ke-12 dunia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin pula tersingkir di tangan beregu India, M. R. Arjun dan Dhruv Kapila menerusi tiga set permainan yang berkesudahan 21-18, 22-24 dan 18-21.

Akhir sekali, gandingan Man Wei Chong dan Tee Kai Wun melengkapkan senarai penyingkiran berjemaah wakil negara apabila turut tumpas kepada beregu No.3 dunia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan.

Wei Chon-Kai Wun tumpas di tangan pasangan yang terkenal dengan julukan “The Daddies” ini secara “straight set” dengan skor 14-21 dan 15-21.

Featured Image: Petronas Brands Instagram

Komen