“Perkara itu tidak sahih pun” – Tan Cheng Hoe Tepis Dakwaan Dikaitkan Kelab Liga Super
July 15, 2022 Hafizuddin Omar

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menafikan dirinya akan melatih mana-mana pasukan terutamanya dalam kancah Liga Super dalam masa terdekat.

Ini termasuk dengan dirinya dikaitkan untuk melatih pasukan berpangkalan di Lembah Klang seperti Selangor FC bagi menggantikan jurulatih sedia ada, Michael Feichtenbeiner.

“Perkara itu tidak sahih pun. Rumour sahaja. Sekarang ini saya hanya berehat dan meluangkan masa dengan keluarga,” katanya seperti dipetik daripada Majoriti.

Malahan jurulatih berusia 54 tahun kelahiran Alor Setar, Kedah turut menyatakan tidak memikirkan untuk kembali melatih mana-mana pasukan secara serius buat masa ini.

“Dalam masa terdekat pun saya tiada perancangan apa-apa. Kalau ada yang betul-betul serius saya akan fikirkan untuk latih tapi setakat ini tiada lagi,” jelasnya.

Selain itu, Cheng Hoe turut menjelaskan mengenai kelibatnya bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini.

Penglibatannya bermain bola sepak di atas padang bersama-sama Sanusi merangkap Menteri Besar Kedah telah mencipta spekulasi bahawa dirinya akan kembali melatih Kedah Darul Aman FC.

Bagaimanapun, Cheng Hoe memaklumkan penglibatannya itu sekadar menunaikan ajakan rakan-rakannya untuk turun bermain bola.

Untuk makluman semua, Cheng Hoe bergelar “free agent” sejak awal Januari tahun ini setelah meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen