Terbuka Singapura: Soon Huat-Shevon Ke Separuh Akhir, Singkir Beregu No.7 Dunia Buat Pertama Kali 
July 15, 2022 Hafizuddin Omar

Tiket ke peringkat separuh akhir Terbuka Singapura berjaya ditempah oleh beregu campuran bebas (indpendent) negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai.

Pasangan yang menghuni ranking ke-15 dunia ini mengesahkan kemaraan selepas menumpaskan beregu No.7 dunia dari Hong Kong, Tang Chun Man dan Tse Ying Suet di peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Soon Huat-Shevon merekodkan kemenangan dengan skor 22-20, 16-21 dan 21-18 dalam tempoh masa menghampiri satu jam permainan.

Untuk makluman semua, ini juga merupakan kemenangan sulung diraih oleh Soon Huat-Shevon ke atas Chun Man-Ying Suet di pentas antarabangsa.

Sebagai rekod, Soo Huat-Shevon pernah bertemu lawan yang sama sebanyak lima kali sebelum ini namun tumpas dalam kelima-lima perlawanan tersebut.

Sementara itu, di peringkat separuh akhir, Soon Huat-Shevon akan bertemu beregu Thailand, Dechapol Puavanukroh dan Sapsiree Taerattanachai merangkap beregu No.2 dunia, esok.

Pasangan Thailand ini mara ke separuh akhir selepas menumpaskan pasangan negara, Chen Tang Jie dan Valeree Siow secara “straight set” dengan skor 21-10 dan 22-20 dalam tempoh 36 minit.

Featured Image: Victor Official Facebook

Komen