Malaysia Rangkul Kejuaraan B-19 AFF Buat Kali Kedua Di Bumi Indonesia
July 18, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak negara bawah 19 tahun (B-19) berhasil muncul juara dalam saingan Kejuaraan B-19 AFF buat kali kedua dalam sejarah.

Kejayaan tersebut dirangkul selepas pasukan negara bimbingan Hassan Sazali Waras berjaya menumpaskan Laos dalam perlawanan akhir yang berlangsung Jumaat lalu di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi, Indonesia.

Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Faiz Amer Runnizar dan Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-14 dan ke-76 masing-masing.

 

Kemenangan dalam perlawanan akhir juga menjadi medan membalas dendam terhadap Laos. Ketika beraksi dalam saingan akhir peringkat Kumpulan B, Malaysia tumpas 0-1 kepada skuad yang sama.

Secara kebetulan, ketika Malaysia bergelar juara dalam saingan ini buat pertama kali dalam edisi 2018, ianya turut diraih ketika beraksi di bumi Indonesia.

Dalam perlawanan akhir edisi terbabit, Malaysia merangkul kejuaraan selepas menumpaskan Myanmar dengan keputusan 4-3. Jaringan oleh skuad negara disumbangkan oleh Awang Muhammad Faiz, Shivan Pillay Asokan serta dua jaringan daripada Nik Akif Syahiran.

Featured Image: AFF / Football Association of Malaysia

Komen