Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou menambah satu lagi kejuaraan menjadikannya memiliki 11 kejuaraan dalam acara perseorangan lelaki bagi kategori SU5 (kecacatan fizikal).
Liek Hou merangkul kejuaraan terbaru selepas menumpaskan lawannya dari Jepun, Taiyo Imai dalam perlawanan akhir Kejohanan 4 Negara Para Badminton Antarabangsa 2022 di Dublin, Ireland, semalam.
Sebagai rekod, kemenangan ini turut menjadikan pemenang pingat emas Paralimpik ini merekodkan 56 kemenangan berturut-turut di pentas antarabangsa.
Dalam perlawanan tersebut, Liek Hou merekodkan kemenangan secara “straight set” dengan skor 21-17 dan 21-16 dalam tempoh masa 39 minit permainan.
Sementara itu, Liek Hou yang membentuk gandingan bersama Muhammad Faris Ahmad Azri dalam acara beregu turut menghasilkan kejuaraan.
Bagi acara ini, kejuaraan tersebut hadir selepas Liek Hou-Muhammad Faris berjaya menumpaskan beregu India, Chirag Baretha-Hardik Makkar juga secara “straight set” dengan pungutan mata 21-19 dan 21-17.
Featured Image: Facebook Cheah Liek Hou